PENDAHULUAN
DEFINISI AKHLAK MENGIKUT FIQH SIRAH
KEPENTINGAN AKHLAK DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG ANAK
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG BELIA
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG PENIAGA
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG SUAMI DAN BAPATARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG SAHABAT
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN
KESIMPULAN
PENDAHULUAN
Ahklak Baginda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia menjadi teladan untuk semua manusia. Tarbiah Baginda berjalan terus-menerus hingga ke hari ini melalui para sahabat Baginda yang merupakan golongan yang tidak dapat ditandingi iman, amalan dan akhlak mereka. Baginda telah memberi pengajaran dalam setiap aspek kehidupan sehinggakan tiada suatupun bidang kehidupan yang tidak disentuh oleh Baginda untuk dijadikan panduan oleh seluruh umat Islam hinggalah ke hari kiamat. Setiap aspek kehidupan Baginda mengandungi pengajaran yang amat bernilai dan berharga sekali. Jadi tidak syak lagi sesiapa yang meneladani kehidupan Baginda pasti akan memperolehi kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.
Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan sahaja seorang pemimpin yang ulung kepada umatnya, malah adalah sebaik-baik ketua di dalam keluarganya. Dalam hidup berkeluarga Baginda telah menggariskan beberapa panduan kepada kita tentang bagaimana memelihara, mendidik anak-anak dan isteri serta pergaulan kita dengan pembantu rumah dalam kehidupan seharian. Tidak dapat menafikan bahawa dalam menjalani dan menguruskan kehidupan seharian kepentingan menjaga keharmonian dan keselesaan sesebuah rumahtangga adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan setiap orang. Lagi-lagi trend zaman ini kebanyakan para isteri dan ibu sama-sama menceburkan diri di bidang pekerjaan dan mempunyai kerjaya tertentu, sebab itulah peranan kita sebagai suami diperlukan di dalam menguruskan sebahagian daripada tugas-tugas rutin para isteri semasa ketiadaan mereka di rumah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan beberapa contoh dan menggariskan peraturan khusus yang patut menjadi peringatan dan panduan kita.
Sesungguhnya mencontohi dan melakukan sesuatu perkara dengan berpandukan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah S.W.T.. Di samping mendapat manfaat di dunia dalam hubungan sesama manusia, kita juga akan mendapat ganjarannya di sisi Allah S.W.T. di akhirat kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diutus adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam.
DEFINISI AKHLAK MENGIKUT FIQH SIRAH
Akhlak dari segi bahasa berasal daripada perkataan khulq yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ini terkandung dalam kata-kata Aisyah r.a. berkaitan akhlak Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran." Akhlak Rasulullah s.a.w. yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah s.a.w. yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.[1] Akhlak dari segi istilah iaitu menurut Ibnu Miskawiah dikenali sebagai pakar bidang akhlak mengatakan bahawa akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu. Sementara itu, menurut Imam al-Ghazali dikenali sebagai Hujjatul Islam pendapatnya lebih luas daripada Ibnu Miskawiah, mengatakan akhlak adalah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Menurut Profesor Dr Ahmad Amin mengatakan akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan. Dalam Mu’jam al-wasith, Ibrahim Anis mengatakan bahawa bahawa akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa yang dengannya lahirlah macam-macam perbuatan, baik atau buruk tanpa membutuhkan pemikiran dan pertimbangan. Selanjutnya di dalam kitab Dairatul Ma’arif secara singkat akhlak diertikan sifat-sifat manusia yang terdidik. Daripada definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan yang tetap sifatnya di dalam jiwa seseorang yang tidak memerlukan daya pemikiran di dalam melakukan sesuatu tindakan.
Keseluruhan definisi akhlak tersebut di atas tidak mempunyai bertentangan melainkan mempunyai persamaan dan saling kait-mengait serta darinya kita dapat melihat ciri-ciri yang terdapat dalam perbuatan akhlak iaitu perbuatan akhlak yang tertanam kuat dalam jiwa seseorang sehingga telah menjadi keperibadiannya. Jika kita mengatakan bahawa si A misalnya sebagai orang yang berakhlak dermawan maka sikapnya tersebut telah menjadi sebahagian darah dagingnya, bila dan di manapun sikapnya itu dibawanya sehingga menjadi identity yang membezakan dirinya dengan orang lain. Jika si A tersebut kadang-kadang dermawan dan kadang-kadang bakhil maka si A tersebut belum dapat dikatakan sebagai seorang yang dermawan. Demikian juga jika kepada si B kita mengatakan bahawa ia termasuk orang yang taat beribadah maka sikap taat beribadah tersebut telah dilakukannya di manapun ia berada.
Perbuatan akhlak yang dilakukan dengan mudah dan tanpa pemikiran. Ini bererti bahawa pada saat melakukan sesuatu perbuatan yang bersangkutan dalam keadaan tidak sedar, hilang ingatan, tidur atau gila. Pada saat yang bersangkutan melakukan suatu perbuatan ia tetap sihat akal pemikiran dan sedar. Oleh kerana itu, perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dalam keadaan tidur, hilang ingatan, mabuk atau perbuatan reflek seperti berkedip, tertawa dan sebagainya bukanlah perbuatan akhlak. Perbuatan akhlak adalah perbuatan yang dilakukan oleh orang yang sihat akal fikirannya. Namun kerana perbuatan tersebut sudah menjadi darah daging sebagaimana disebutkan pada sifat yang pertama maka pada saat akan mengerjakannya sudah tidak memerlukan pertimbangan atau pemikiran lagi. Hal yang demikian tidak ubahnya dengan seseorang yang sudah menjadi darah dagingnya mengerjakan solat lima waktu maka pada saat datang seruan solat ia sudah tidak merasa berat lagi mengerjakan dan tanpa memikirkan lagi ia sudah dengan mudah dan ringan dapat menunaikannya.
Perbuatan akhlak adalah perbuatan yang timbul dari dalam diri orang yang mengerjakannya tanpa ada paksaan atau tekanan dari luar. Perbuatan akhlak adalah perbuatan yang dilakukan atas dasar kemahuan, pilihan dan keputusan yang bersangkutan. Oleh kerana itu, jika ada seseorang yang melakukan suatu perbuatan tetapi perbuatan tersebut dilakukan kerana paksaan, tekanan atau ancaman dari luar maka perbuatan tersebut tidak termasuk ke dalam akhlak dari orang yang melakukannya. Dalam perkara ini Ahmad Amin mengatakan bahawa ilmu akhlak adalah ilmu yang membahaskan tentang perbuatan manusia yang dapat dinialai baik atau buruk. Tetapi bukan semua amal yang baik atau buruk itu dapat dikatakan perbuatan akhlak. Banyak perbuatan yang dilakukan tidak atas dasar kemahuannya atau pilihannya seperti bernafas, berkedip, berbolak-baliknya hati dan terkejut ketika tiba-tiba terang setelah sebelumnya gelap tidaklah disebut akhlak kerana perbuatan tersebut yang dilakukan tanpa pilihan.
Perbuatan yang dilakukan dengan sesungguhnya, bukan main-main atau kerana bersandiwara. Jika kita menyaksikan orang berbuat kejam, sadis, jahat dan seterusnya tapi perbuatan tersebut kita lihat dalam pertunjukkan filem maka perbuatan tersebut tidak dapat disebut perbuatan akhlak kerana perbuatan tersebut bukan perbuatan yang sebenarnya. Berkenaan dengan ini maka sebaiknya seseorang tidak tergesa menilai orang lain sebgai berakhlak baik atau buruk sebelum diketahui dengan sesungguhnya bahawa perbuatan tersebut memang dilakukan dengan sebenarnya. Hal ini perlu dicatat kerana manusia termasuk makhluk yang pandai bersandawara atau pura-pura. Untuk mengetahui perbuatan yang sesungguhnya dapat dilakukan melalui cara yang terus-menerus.
Sejalan ciri-ciri di atas, perbuatan akhlak adalah perbuatan yang dilakukan kerana ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. buakn kerana ingin dipuji orang atau ingin mendapatkan sesuatu pujian. Seseorang yang melakukan perbuatan bukan atas dasar kerana Allah S.W.T. tidak dapat dikatakan perbuatan akhlak.[2]
KEPENTINGAN AKHLAK DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikutnya yang telah menyeleweng. Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.
Akhlak juga merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap mereka yang tidak berakhlak tempatnya dia dalam neraka. Umpamanya seseorang itu melakukan maksiat, menderhaka kepada ibu bapa, melakukan kezaliman dan sebagainya, sudah pasti Allah S.W.T. akan menolak mereka daripada menjadi ahli syurga. Selain itu, akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana ianya lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : " Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."
Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah S.W.T. ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w.. Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata : " Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak. "
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut. Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya. Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.[3]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG ANAK
Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaan yatim dan tidak merasai kasih sayang ibubapa sebenarnya mempunyai hikmah-hikmah tersendiri seperti membentuk keperibadian dan kejiwaan yang kuat, mantap serta berdaya tahan senjak kecil bagi menghadapi apa jua rintangan pada masa hadapan. Ini juga bertujuan menyedarkan Baginda senjak kecil lagi bahawa tiada tempat pergantungan sepenuhnya kepada sesame makhluk. Ibunda Nabi Muhammad s.a.w. menyerahkan Baginda kepada Halimah binti Abu Zu’ayb yang tinggal diperkampungan Bani Saad untuk disusukan dan dididik. Tujuan lain Baginda dihantar ke situ ialah supaya Baginda dapat dibesarkan dalam persekitaran alam semula jadi yang segar dan bersih serta jauh dari kesibukan kota Mekah. Keadaan kawasan pendalaman juga membentuk tubuh yang sihat, ketahanan jiwa, keazaman yang kuat, pemikiran yang tajam, mampu berdikari, jauh dari perasaan manja dan fasih berbahasa. Menurut Ibn Saad, peristiwa pembelahan dada berlaku ketika Baginda berusia 4 tahun. Di antara hikmah kejadian tersebut ialah sebagai persediaan awal kerohanian Baginda untuk ma’sum dan menerima wahyu pada suatu haru kelak serta mensucikan atau membersihkan hatinya daripada sebarang cubaan gangguan syaitan.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengembala kambing ketika berada di perkampungan Bani Saad dan di Mekah. Menurut Ibn Hajar al Asqalani di antara hikmahnya ialah menjadi latihan awal kepada Baginda supaya mampu bertanggungjawab ke atas umatnya sebagaimana Baginda bertanggungjawab memelihara dan menjaga binatang pelihara tersebut. Ia turut memupuk perasaan belas kasihan, sabar, cekal dan tabah bagi menghadapi pebagai kerenah umatnya. Di sebalik itu juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. senjak kecil lagi sudah pun berusaha mencari rezeki yang halal. Walaupun dijaga dengan penuh perhatian oleh Abu Talib tetapi Baginda ingin memperlihatkan dirinya yang sedia membantu dan tidak terlalu mengharapkan Abu Talib meskipun upah gembalaan itu tidak seberapa. Ini mengambarkan akhlak dan perasaan mulia Nabi Muhammad s.a.w. semasa kecilnya. Baginda juga bersikap jujur dan bertanggungjawab semasa diamanahkan menjaga binatang-binatang peliharaan tersebut.
Nabi Muhammad s.a.w. telah mempelajari cara menggunakan pedang, panah, tombak dan lain-lain alat peperangan ketika di bawah jagaan Abu Talib. Ini adalah sebagai persediaan memperlengkapkan dirinya untuk menjadi seorang lelaki yang mempunyai kemahiran pertahanan diri dan mengetahui teknik atau strategi serangan. Semasa berusia 12 tahun, Baginda mengikuti rombongan perniagaan Abu Talib ke Sham. Di dalam perjalananya tersebut Baginda banyak menimba pengetahuan tentang selok-belok perniagaan serta melihat keadaan social masyarakat Sham dan memerhatikan alam semula jadi di luar kota Mekah. Semuanya ini merupakan pengalaman dan pendidikan secara tidak langsung yang telah diperolehi oleh Nabi Muhammad s.a.w. semasa kecilnya yang membentuk dirinya menjadi seorang yang berpengetahuan luas. Secara umumnya diperhatikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ketika kecilnya mempunyai akhlak yang sempurna dan mulia.[4]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG BELIA
Nabi Muhammad s.a.w. begitu perihatin terhadap golongan belia kerana mereka merupakan aset yang penting bagi mencapai kejayaan perlaksanaan sesebuah gerakan. Majoriti penganut agama Islam pada peringkat awal adalah terdiri daripada golongan belia seperti Abu Bakar Bin Abi Qahafah, Saad Bin Abi Waqqas, Talhah Bin Ubaiallah, Abu Ubaidah Bin al-Jarrah, Al-Zubair Bin al-Awwam, Abd al-Rahman Bin Auf, Abu Dhar al-Ghifari, Abd Allah Bin Masud diikuti dengan belia-belia lain seperti Abu Salamah, al-Arqam, Uthman Bin Mazun, Ubaidah Bin al-Harith, Saud Bin Zaid dan isterinya Fatimah Binti al-Khattab, Asma’ Binti Abu Bakar, Khabbab Bin al-Art, Umair Bin Abu Waqqas, Abd Allah Bin Jahsh, Jaafar Bin Abu Talib, Hamzah dan Umar Bin al-Khattab.
Pemikiran muda mereka yang tidak terlalu lama bergelumang dengan adat dan amalan tradisi jahiliyyah menyebabkan mereka tidak begitu sukar untuk menerima Islam. Dengan kekuatan dan tenaga yang dimiliki, mereka mempertahankan Islam dan mengembangkannya serta membawa mercu kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan pelbagai keperibadian yang mulia dan baik yang boleh dijadikan tauladan kepada para belia dewasa ini. Sebagai seorang belia Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keperibadian yang unggul seperti berani, berwibawa serta bersemangat tinggi, kebijaksanaan dan berfikir jauh, amanah, jujur, bersikap benar dalam segala urusan, sabar, cekal, tabah, pemaaf, penyayang dan baik budi bahasa, pemurah, pemalu, fasih ketika bercakap dan sentiasa menjauhi segala bentuk maksiat. Ketika remaja dalam lingkungan belasan tahun, Baginda telah menyertai Harb al-Fijar yang tercetus di antara Quraysh ( bersama sekutunya Bani Kinanah ) dan puak Qays Aylan. Nabi Muhammad s.a.w. bertindak mengumpul atau mengutip anak-anak panah yang dilancarkan oleh puak musuh untuk digunakan kembali oleh pihak keluarganya yang turut menyertai peperangan tersebut. Ini memperlihatkan keberanian Baginda sewaktu usia yang muda. Menurut Ibn Hisham, ketika itu Baginda berumur 14 atau 15 tahun. Sementara Ibn Ishak dan Ibn Saad pula menyatakan bahawa Baginda berusia 20 tahun ketika itu. Penglibatan Baginda juga merupakan satu pendedahan awal secara pratikal tentang selok-belok pertempuran dan penggunaan alat-alat peperangan.
Nabi Muhammad s.a.w. turut menghadiri Hilf al-Fudul di rumah Abd Allah Bin Judan yang berlaku pada bulan Zulkaedah ketika berumur 20 tahun. Baginda menyertai kumpulan al-Ahlaf terdiri daripada kumpulan Bani Abd al Mutalib,Bani Asad, Bani Zuhrah dan Bani Taim yang meminta daripada kumpulan al-Mutayyabun terdiri daripada Bani Abd al-Dar, Bani Makhzum, Bani Jumah, Bani Sahm dan Bani adi supaya hak-hak orang dizalimi dikembalikan. Dalam erti kata lain perjanjian tersebut bertujuan member pertolongan dan membela hak-hak orang bawahan dalam hubungan perniagaan dengan orang Quraish di kota Mekah kaya dan berkuasa. Ini memperlihatkan kejiwaan Baginda yang menyukai perkara-perkara baik semasa muda belia dan kehadirannya dalam perjanjian tersebut merupakan penglibatan awal Baginda dalam urusan yang besar dan penting.
Pada tahun 705 Masihi sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. berusia 35 tahun, Baginda menyertai masyarakat Quraish dalam pembinaan semula Kaabah yang telah hamper rosak akibat banjir dan kebakaran yang berlaku sebelum itu. Baginda berkerjasama dengan ahli keluarganya mengangkat batu untuk membina semula dinding Kaabah tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. turut menyelesaikan pertikaian yang hamper mencetuskan pertempuran apabila perselidihan faham berlaku di kalangan puak-puak Quraish untuk meletakkan Hajar al-Aswad ke tempatnya. Peristiwa yang berlaku ini boleh mencerminkan beberapa sahsiah Baginda ketika di usia Belianya iaitu :
a) Nabi Muhammad s.a.w. sentisa bersikap tolong menolong dan sedia berkerjasama dalam sesuatu urusan kebajikan tanpa melengahkannya.
b) Penerimaan Nabi Muhammas s.a.w. sebagi hakim untuk menyelesaikan pertikaian tersebut oleh pihak Quraish serta penyifatan mereka ke atas beliau sebagai al-Amin memperlihatkan akhlaknya yang begitu tinggi dan mulia.
c) Berdasarkan peristiwa tersebut, Baginda diperlihatkan mempunyai kecerdikan, kepandaian, pemikiran yang tajam dan berpandangan jauh dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
d) Masyarakat Quraish mengiktirafkan kemuliaan dan kebenaran Baginda di kalangan mereka apabila tidak ragu-ragu atau tidak membantah keputusan pengadilan Baginda mengenai perletakkan Hajar al-Aswad tersebut.
e) Penglibatan Nabi Muhammad s.a.w. di dalam peristiwa besar tersebut memperlihatkan penyertaannya yang menyeluruh dalam urusan kemasyarakatan semasa ketika itu dengan tidak hanya berdiam diri sahaja. Baginda menunjukkan kecergasanya, kemampuannya menyelesaikan masalah dan sumbangan yang positif dalam memberikan keadilan.
Umumnya Nabi Muhammad s.a.w. telah mempratikkan akhlak yang tinggi dalam segenap aspek kehidupan hariannya. Baginda pernah digoda oleh perasaan mudanya untuk melakukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh pemuda-pemuda Arab dalam masyarakat Mekah tetapi perasaan dan hawa nafsu tersebut dipatahkan oleh akal fikiran Baginda yang waras. Riwayat Izz al-Din Ibn al-Athar dan al-Hakim daripada Ali Bin Abu Talib menyebut bahawa perlindungan daripada Allah S.W.T. telah menyelamatkan Baginda daripada melakukan perbuatan tersebut. Sama ada Nabi Muhammad s.a.w. telah diselamatkan oleh fikiran Baginda sendiri atau dengan perlindungan Allah S.W.T., itu sama ada dan bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan kerana Baginda tidak pernah melakukan dosa kepada Allah S.W.T. atay manusia.
Nabi Muhammad s.a.w. meninggalkan segala perbuatan keji yang ada dalam masyarakat ketika itu seperti judi, meminum arak, berzina, menilik nasib dan lain-lain. Ketika hamper dilantik menjad Rasul, Baginda lebih senang bersendirian dengan bertahannuthdi gua Hira. Selain daripada itu apabila diamanahkan sesuatu perkara maka Baginda akan menunaikan dengan baik. Ini dapat dilihat dalam peristiwa penghijrahan ke Madinah yang mana Baginda telah berpesan kepada Ali Bin Abu Talib supaya mengembalikan semula barang-barang kepunyaan orang yang disimpan kepadanya. Ini membuktikan bahawa masyarakat Quraish masih meletakkan kepercayaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang yang amanah semenjak Baginda belia lagi sehinggalah ke saat itu.
Nabi Muhammad s.a.w. turut memperlihatkan sikapnya yang tekun dalam usaha mencari rezeki yang halal. Baginda pernah bekerja mengambil upah mengembala kambing dan menjadi peniaga. Sifat ikhlas yang dihayatinya menyebabkan beliau disenagi oleh semua masyarakat Quraish. Gelaran al-Amin yang diberikan kepadanya adalah sesuai dengan kesempurnaan dan ketinggian akhlaknya.[5]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG PENIAGA
Khadijah Binti Khuwailid Bin Asad Bin Abd al-Uzza Bin Qusai Bin kilab merupakan seorang wanita ternama di zaman jahiliyyah. Beliau adalah peniaga, hartawan dan mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakat Quraish. Lantaran itu, beliau dikenali sebagai al-Afifah al-Tahirah. Apabila mendengarkan cerita tentang kejujuran, keamanahan dan ketinggian akhlak Nabi Muhammad s.a.w., beliau menawarkan kepada Baginda untuk keluar berdagang dengan Qafilahnya ke Sham dengan upah yang lebih lumayan. Nabi Muhammad s.a.w. menerima tawaran tersebut dan keluar berniaga di Jarsh salah sebuah Bandar di utara Jordan sebanyak dua kali dengan ditemani oleh Maisarah.
Melalui kecekapan, kemahiran dan kebijaksanaan Baginda, barang-barang yang diperniagakan di Sham mendapat keuntungan besar. Kemudiannya Nabi Muhammad s.a.w. membeli pula barang-barang dagangan di situ dan menjualnya semula di Mekah lalu memperolehi keuntungan yang sebegitu besar. Kejayaan Baginda sebagai seorang peniaga adalah disebabkan perilaku, kejujuran dan muamalah yang begitu baik dengan para pelanggannya. Tidak berlaku sebarang penipuan, tekanan mahupun paksaan semasa urusan jual beli Baginda. Maisarah sendir mengakui keunggulan sahsiah Nabi Muhammad s.a.w. dengan menyatakan kepada Khadijah bahawa Baginda adalah seorang yang terlalu baik budi pekerti, berhemah, pandai berbicara, sabar, cekal, amanah dan jujur dalam pekerjaan. Inilah di antara factor yang menyebabkan Khadijah tertarik hati kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang akhirnya membawa kepada perkahwinan. Pemilihan Baginda sebagai suami merupakan pengiktirafan Khadijah terhadap akhlaknya yang terpuji kerana sebelum ini ramai daripada kalangan lelaki Quraish yang ingin mendampingi Khadijah tetapi gagal.[6]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG SUAMI DAN BAPA Keluarga merupakan institusi terpenting dalam pembinaan sesebuah masyarakat yang harmoni. Islam begitu mengutamakan peranan suami selaku ketua dalam mengendalikan urusan rumah tangga kerana beliaulah yang bertanggungjawab menentukan hala tuju sesebuah keluarga tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. di samping menjadi Rasul, pemimpin politik dan pendakwah telah memperlihatkan Qudwah Hasanah sebagai seorang suami dan bapa yang harus diteladani oleh masyarakat dewasa ini.
Nabi Muhammad s.a.w. telah mengahwini sebanyak 13 orang perempuan iaitu Khadijah Binti Khuwailid, Aishah Binti Abu Bakar, Saudah Binti Zamah, Zainab Binti Jahsh, Hind Binti Abu Umayyah, Hafsah Binti Umar al Khattab, Ramlah Binti Abu Sufian, Juwairiyah Binti al-Harith, Safiyyah Binti Huiai, Maimunah Binti al-Harith dan Zainab Binti Khuzaimah. Kesemua mereka dicampuri oleh Baginda dan dua daripadanya Khadijah dan Zainab Binti Khuzaimah wafat semasa hidup Nabi Muhammad s.a.w.. Sementara itu dua orang lagi isteri yang tidak dicampuri oleh Baginda ialah Asma Binti al-Numan dan Umrah Binti Yazid. Tujuh daripada mereka adalah berketurunan Quraish iaitu Khadijah, Aishah, Hafsah, Ramlah, Hind dan Saudah. Hanya Aishah sahaja merupakan anak dara yang dikahwini oleh Baginda
Tidak benar semua sekali pandangan Orientalis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang yang penting diri sendiri dan pemuas nafsunya. Sekiranya betul dakwaan tersebut mengapakah Baginda tidak mengahwini wanita lain di sepanjang tempoh Khadijah menjadi isterinya. Khadijah wafat ketika berusia 65 tahun dan semasa itu Baginda berusi hampir 50 tahun??? Jelas bahawa perkahwinannya dengan Khadijah bukanlah berasaskan factor fizikal tetapi Kjadijah memiliki akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hikmah di sebalik Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai isteri yang ramai ialah :
a) Suasana Madinah pada awalsentiasa tergugat dengan ancaman musuh seperti Quraish, Yahudi, Bani Mustaliq dan lain-lain. Peperangan tercetus dan beberapa orang para sahabat gugur syahid. Baginda mengahwini beberapa isteri para sahabat yang gugur tersebut dengan tujuan untuk meringankan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika itu. Ini menunjukkan sikap keprihatinan Baginda terhadap masalah semasa dan jelas bahawa perkahwinan Baginda juga bukanlah bertujuan untuk bersuka-suka.
b) Perkahwinan Baginda bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan, perqabilahan dan mewujudkan hubungan yang baik semasa Islam mahupun dengan pihak musuh. Sebagai contoh Nabi Muhammad s.a.w. telah mengahwini Safiyyah yang berasal dari Bani al-Nadir.
c) Sebahagian daripada syariat Islam adalah berkaitan dengan wanita, isteri dan keluarga. Muamalah Baginda dengan isteri-isterinya banyak mengetengahkan hukum-hakam secara pratikal supaya mudah difahami oleh umatnya.
d) Kehidupan rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai pelbagai contoh baik mahupun kerenah atau masalah, boleh dijadikan panduan atau ikutan oleh masyarakat Islam.
Di antara sahsiah Baginda yang terdapat diperhatikan sebagai seorang suami ialah :
a) Memberikan keadilan yang sama rata terhadap isteri-isterinya dari sudut layanan, penempatan, nafkah, keperluan zahir dan batin. Mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dilayan oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara adil. Sebagai contoh Baginda bermalam di rumah mereka secara bergilir-gilir sehinggalah ketika gering sebelum wafat, Baginda meminta izin daripada isterinya yang lain untuk berada di rumah Aishah Apabila Nabi Muhammad s.a.w. hendak keluar musafir maka Baginda membuat undian bagi menentukan siapa yang akan mengiringinya.
b) Kehidupan yang sederhana. Nabi Muhammad s.a.w. menjalani kehidupan rumahtangganya secara sederhana dengan tidak mengutamakan tuntutan dunia atau mengejar kemewahan. Baginda mengajar isterinya hidup sebagai kelurga biasa sepertimana yang dikehendaki oleh Islam supaya boleh dijadikan contoh tauladan kepada umatnya.
c) Nabi Muhammad s.a.w. memberikan hak-hak yang sepatutnya diterima oleh para isteri. Baginda juga memuliakan dan mengangkat kedudukan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. memberikan hak suara kepada para isterinya dan seringkali berbincang dengan mereka mengenai sesuatu urusan. Baginda juga tidak akan berkahwin dengan seorang wanita melainkan dengan keredaan wanita tersebut.
d) Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa membantu dan menolong para isterinya dalam urusan rumahtangga.
e) Baginda mewujudkan muamalah dan hubungan yang mesra dengan para isterinya. Tidak terdapat sebuah riwayat pun yang menyatakan Baginda mengasari atau mengherdik mereka. Jika mereka melakukan kesalahan maka Baginda akan menegur dan menasihati dengan cara yang baik.
f) Nabi Muhammad s.a.w. menguruskan dan mentadbir rumahtangganya dengan kebijaksanaan. Segala permasalahan yang timbul seperti perasaan cemburu di kalangan isterinya dapat diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati.
Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai 7 orang anak iaitu 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan. Al-Qasim, Zainab, Ruqayyah, Umm Kalthum, Fatimah dan Abd Allah merupakan hasil perkahwinan dengan Khadijah sementara Ibrahim adalah hasil perkahwinan dengan Mariyyah al-Qibtiyyah. Kesemua anak lelaki Baginda mati ketika kecil manakala Zainab, Ruqayyah dan Umm Kalthum wafat semasa hidup Nabi Muhammad s.a.w. dan Fatimah pula wafat setelah 6 bulan kewafatan ayahdanya.
Nabi Muhammad s.a.w. telah memperlihatkan tugas dan tanggungjawab sebenar sebagai seorang bapa yang seharusnya diteladanioleh masyarakat Islam sekarang. Keseluruhan konsep pendidikan, pergaulan, penjagaan dan peradaban dengan anak-anak cukup lengkap dipratikkan oleh Baginda di dalam kehidupan sehariannya. Hakikatnya tanggungjawab seorang bapa tidaklah hanya sekafar memenuhi keperluan fizikal sahaja tetapi lebih jauh daripada itu membentuk sahsiah anak-anak, memberikan kasih saying yang mencukupi dan memberikan teladan yang baik kepada mereka. Di antara keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang bapa yang dapat dilihat ialah :
a) Baginda mengasihi dan menyayangi anak-anak atau cucu-cucunya. Menurut riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda telah mencium al-Hasan Bin Ali dan al-Aqra Bin Habis yang melihat perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. tersebut. Baginda amat mengasihi cucunya al-Hasan dan al-Husain. Apabila dikurniakan Ibrahim, Nabi Muhammad s.a.w. terlalu gembira. Baginda sentiasa menziarahinya dan bermanja serta bermain denganya. Nabi Muhammad s.a.w. turut bersedih atas kematian anak-anak lelakinya yang kecil tetapi Baginda sedia menerima takdir Allah S.W.T. tersebut dengan hati yang terbuka, Contoh lain yang dapat dilihat ialah apabila Fatimah dating menziarahinya maka Baginda akan berdiri menyanbut kedatangan Fatimah dan mengalu-alukannya. Baginda akan menyuruh Fatimah duduk di sebelah kanannya.
b) Nabi Muhammad s.a.w. bersikap adil ketika bermuamalah dengan anak-anaknya. Tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan beliau ada melebihkan di antara anak-anaknya. Layanan Baginda terhadap mereka adalah sama rata dan tidak wujud perbezaan taraf sama ada anak lelaki atau perempuan.
c) Nabi Muhammad s.a.w. menghormati pendirian anaknya dan memberikan kebebasan kepada mereka untuk mendapatkan hak-hak mereka. Baginda telah menerima tebusan anaknya, Zainab yang berhasrat membebaskan Abu al-As Bin al-Rabi yang menjadi tahanan dalam Ghazwah Badr.
d) Baginda perihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh anak yatim dan berusaha menyelesaikan serta melayani anak-anak para sahabat seperti anaknya sendiri.[7]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG SAHABAT
Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan asas-asas kukuh sesama Muslimin dari perspektif persahabatan dan ukhuwah ketika mempersaudarakan di antara golongan al-Muhajirin dan al-Ansar. Islam memberikan impak baru dalam mengeratkan ikatan hubungan sesama Islam dengan membawa keseluruhan matlamatnya kepada keredaan Allah S.W.T.. Nabi Muhammad s.a.w. dalam perilaku sebagai seorang sahabat telah mengemukakanbeberapa garis panduan penting yang seharusnya diteladani oleh masyarakat sekarang bagi menjalin hubungan sesama Islam. Terdapat beberapa sahsiah mulia yang Baginda pratikkan dalam konteks ini iaitu :
a) Baginda seringkali menasihati para sahabatnya untuk berbuat kebaikan dan menghargai usaha-usaha yang telah mereka lakukan.
b) Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa memaafkan kesalahan yang tidak disengajakan yang dilakukan oleh para sahabat. Baginda turut menggalakkan mereka bersikap demikian untuk mengekalkan hubungan persahabatan dan ukhuwah Islamiyyah.
c) Baginda mempunyai peradaban tinggi ketika bermuamalah dengan mereka. Semasa berbincangan mengenai sesuatu perkara, Baginda tidak akan memotong perkataan sahabatnya dan menuggu sehingga selesai. Nabi Muhammad s.a.w. juga tidak akan meniggalkan sesebuah majlis melainkan setelah semua beredar. Baginda menerima jemputan mereka yang mengajaknya ke rumah dan tidak menolak penberian hadiah daripada sahabatnya. Baginda memnggil mereka dengan nama dan gelaran yang baik. Baginda turut menunjukkan sikapnya supaya penyayang dan pengasih dalam semua aspek pergaulan dengan mereka. Baginda tidak pernah memuji dirinya apatahlah melukai perasaan sahabtnya.
d) Nabi Muhammad s.a.w. perihatin dan mengambil berat tentang masalah yang dihadapi para sahabat serta berusaha menyelesaikannya. Apabila terdapat di kalangan mereka yang uzur maka Baginda akan datang menziarahi dan bertanya khabar. Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Baginda sendiri pernah menyediakan makanan untuk golongan yang tidak berkemampuan yang tinggal di masjid Madinah.
e) Baginda sentiasa bekerjasama dengan para sahabat da tidak pernah mengambil kesempatan ke atas mereka. Abu Hurairah sendiri meriwayatkan bahawa beliau telah ke pasar bersama Nabi Muhammad s.a.w. dan ingin menolongnya membawa barang yang dibeli oleh Bagunda tetapi tolak. Dalam riwayat lain, Baginda turut berkerjasama mencari kayu api bagi menyediakan makanan ketika bermusafir bersama para sahabat.[8]
TARBIYYAH AKHLAK NABI MUHAMMAD S.A.W. SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN
Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang pemimpin politik ulung yang tiada tandinganya. Baginda berjaya membentuk sebuah Negara Islam yang mana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan dan menyatupadukan mereka serta memerintah dengan begitu baik. Rahsia di sebalik kecemerlangan Baginda sebagai political leader and stateman adalah kerana keperibadiannya yang tinggi. Di antara sahsiah Baginda sebagai pemimpin politik ialah :
a) Baginda memerintah dengan penuh adil dan saksama. Tidak seorang pun yang terkecuali daripada hukuman sekiranya ia melakukan kesalahan.
b) Nabi Muhammad s.a.w. berkeyakinan penuh dengan penubuhan kerajaan pimpinannya yang bermatlamat mencapai keredaan Allah S.W.T.. Perilaku Baginda tidak pernah sama sekali bertentangan dengan dasar atau polisi pentadbirannya. Baginda mengetahui setiap tindak tanduknya akan menjadi Qudwah Hasanah kepada masyarakat ketika itu.
c) Nabi Muhammad s.a.w. mengambil berat terhadap masalah semasa yang dihadapi oleh masyarakat dan segera mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya.
d) Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mengamalkan konsep kronisme, neopotisme atau menekan pihak-pihak tertentu. Tidak wujud pilih kasih dalam dasar pentadbiran Baginda walaupun kepada keluarga sendiri atau sahabat terdekat. Sejarah membuktikan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. ke atas golongan Yahudi ialah kerana sikap mereka dan bukan kerana bangsa mereka.
e) Sebagai seorang pemimpin, Nabi Muhammad s.a.w. bersifat terbuka dan mengamalkan konsep Shura. Baginda seringkali meminta pandangan para sahabat mengenai sesuatu urusan yang berkaitan dengan pentadbiran atau ketenteraan sekiranya tidak ada nas yang sahih mengenainya. Ini adalah penting bagi mencapai keputusan yang dipersetujui oleh ramai dan mereka bebas mengemukakan pendapat masing-masing. Sebagai contoh, Baginda menerima pandangan al-Habbab Bin al-Mundir tentang kedudukan tentera ketika Ghazwah Badr. Nabi Muhammad s.a.w. turut menerima pendapat Salman al-Farisi yang mencadangkan agar parit di gali sekeliling Madinah sebagai benteng pertahanan dalan Ghazwah Khandak.
f) Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai kebijksanaan yang tinggi sebagai seorang pemimpin. Bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama, Baginda telah merangka Sahifat al-Madinah untuk tujuan tersebut. Masalah ekonomi yang timbul selepas penghijrahan ke Madinah telah dapat diselesaikan oleh Baginda. Kekacauan yang sering ditimbulkan oleh pihak Yahudi dan golongan al-Munafiqun mampu dihadapi oleh Baginda dengan baik. Baginda berfikiran jauh ketika menerima syarat-syarat perjanjian Hudaibiyyah meskipun pada zahirnya tidak menguntungkan atau berat sebelah kerana Baginda tahu bahawa akhirnya ia akan membawa kemenangan kepada pihak Islam.
g) Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang pemimpin yang berani. Baginda menggalakkan masyarakat Islam ketika itu berjihad di jalan Allah S.W.T. dan Baginda sendiri dengan gagah beraninya menyertai tentera muslimin dalam setiap Ghazawat.
h) Tidak berlaku penindasan dalam system pemerintahan. Baginda menjamin hak kebebasan sosial dan hak kesamarataan. Penduduk Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam, Yahudi, Mushrikin dan kristian diberikan hak kebebasan beragama dan tidak wujud perbezaan di antara mereka ketika dijatuhkan hukuman atau sebagainya.[9]
KESIMPULAN
Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keperihatinan dan kejiwaan yang kuat,mantap serta berdaya tahan senjak dari kecil. Apabila usianya mencapai belasan tahun, Baginda telah pun berkerja sebagai pengembala kambing dan mengikut bapa saudaranya ke Sham. Ini memperlihatkan Baginda sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal.
Sebagai seorang belia, Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai sahsiah yang unggul dan sifat penyayang dan sentiasa menjauhi segala bentuk perbuatan maksiat. Kebijaksanaan Baginda terserlah apabila berjaya menyelesaikan masalah perletakakan Hajar Aswad.
Khadijah Binti khuwailid telah menawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk keluar berdagang dengan qafilahnya disebabkan akhlak Baginda yang tinggi dan mulia. Qafilah Khadijah telah mendapat keuntungan kerana muamalah dan perilaku Baginda yang begitu jujur terhadap pelanggannya. Akhlak Baginda jugalah yang telah menawan hati Khadijah.
Sebagai seorang suami, Nabi Muhammad s.a.w. telah memperlihatkan tugas dan tanggungjawab sebenarnya dalam mengendalikan urusan rumahtangga. Baginda telah berlaku adil terhadap isteri-isternya. Mereka diberi hak-hak yang sepatutnya diterima seorang isteri mengikut pandangan Islam. Baginda turut perihatin terhadap anak-anak dan cucu-cucunya. Layanan yang diberi adalah sama dan tidak dibezakan di antara mereka. Baginda juga menghormati dan menyayangi mereka. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang suami dan bapa mithali yang tiada bandingannya.
Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai muamalah yang baik dengan para sahabatnya. Baginda telah mengemukakan beberapa garis panduan penting yang seharusnya diteladani oleh masyarakat sekarang bagi menjalin hubungan sesama Islam. Di antaranya ialah nasihat-menasihati, tolong-menolong, mengambil berat sesama mereka, sentiasa bekerjasama dan sentiasa berakhlak mulia.
Rahsia disebalik kecemerlangan Baginda sebagai political leader adalah kerana keperibadiannya yang tinggi. Baginda memerintah dengan adil dan sentiasa mengambil berat tentang masalah rakyatnya. Tidak wujud apa yang dinamakan kronisme atau noepotisme dalam pemerintahannya. Baginda mempunyai kebijaksanaan dan sentiasa mengamalkan konsep Shura. Tidak berlaku sebarang penindasan dalam system pemerintahannya. Baginda adalah seorang pemimpin yang ulung yang tiada tandingannya.
Nota Kaki
2. Prof. Dr. H. Abuddin Nata,M.A.,Akhlak Tasawwur,Jakarta:PT RajaGrafindo Persada,2008,hllm.3-7
3. baheis.islam.gov.my/.../e81fb45d0d24839f4825745b0011cfc2?
4. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 290-291
5. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 292-296
6. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 296-297
7. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 297-301
8. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 301-303
9. Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 303-305
[2]Prof. Dr. H. Abuddin Nata,M.A.,Akhlak Tasawwur,Jakarta:PT RajaGrafindo Persada,2008,hllm.3-7
[3] baheis.islam.gov.my/.../e81fb45d0d24839f4825745b0011cfc2?
[4] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 290-291
[5] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 292-296
[6] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 296-297
[7] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 297-301
[8] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 301-303
[9] Anwar Zainal Abidin,Wan Kamal Mujani, Sirat al-Rasul dan Al Khulafa’ AL Rashidun, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm 303-305
No comments:
Post a Comment