Agama-agama Dunia
Agama-agama dunia lahir pada masa dan tempat yang berbeza. Namun, ada juga yang lahir pada waktu dan tempat yang hampir sama. Sejarah menyaksikan kelahiran pelbagai agama. Agama-agama itu lahir pada masa dan tempat yang berbeza. Namun, ada juga yang lahir pada waktu dan tempat yang hampir sama. Hari ini, agama-agama itu sudah mempunyai sekelompok pengikut yang setia mempercayai dan beramal dengan ajarannya. Jumlah pengikut serta ajaran agama-agama itu berbeza antara satu sama lain. Pengkaji agama membahagikan agama kepada beberapa kategori. Kategori ini berdasarkan konsep ketuhanan dalam agama-agama itu. Konsep ketuhanan berbeza antara agama. Ada yang mempercayai konsep Monoteisme, Politeisme, Henoteisme, Panteisme, Monoletri, Dualisme dan sebagainya.
Monoteisme berasal daripada gabungan dua perkataan Greek mono dan theos. Mono bererti satu dan theos bermakna Tuhan. Manakala Monoteisme merujuk kepada agama yang mempercayai Tuhan hanya satu. Agama-agama yang dapat dikategorikan sebagai agama Monoteisme pada masa kini oleh para pengkaji agama adalah agama Islam, agama Kristian (Nasrani) dan agama Yahudi.
Agama Islam mempertuhankan Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah. Dia tidak mempunyai anak dan tidak ada yang serupa dengannya. Allah menyatakan di dalam Quran dalam bab al-Ikhlas ayat 1 hingga 4 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Dialah Allah yang Maha Esa. Allah yang dituju (bagi memohon hajat). Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan (tidak berbapa). Dan tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya’.”
Manakala agama Kristian pula mengamalkan konsep Monoteisme. Agama Kristian mempercayai doktrin Tri-Tunggal. Tri-Tunggal bermaksud satu Tuhan dalam tiga; Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh kudus. Tetapi, ketiga-tiga Tuhan ini tidak dianggap wujudnya tiga Tuhan yang berlainan. Sebaliknya, agama Kristian mempercayai mereka adalah satu ataupun tiga dalam satu. Oleh itu, mereka mem-percayai ketiga-tiga Tuhan ini adalah satu Tuhan yang disebut sebagai Tri-tunggal atau Triniti.
Agama Yahudi juga adalah agama yang mengamalkan konsep Monoteisme. Ini kerana, mereka melakukan penyembahan dan peribadatan hanya kepada Yahweh iaitu Tuhan mereka yang satu. Di samping itu, mereka tidak mengakui ada Tuhan lain yang berkuasa selain daripada Yahweh. Politeisme juga berasal daripada dua gabungan perkataan Greek iaitu polus dan theos yang bermaksud banyak Tuhan.
Manakala agama Politeisme pula merujuk kepada agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Dengan kata lain, agama Politeisme ini menyembah banyak Tuhan. Contohnya agama Hindu. Agama Hindu mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Misalnya, Tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Selain daripada Tuhan-tuhan ini, agama Hindu juga mempercayai kewujudan beribu-ribu dewa yang dianggap mempunyai kuasa. Contohnya: 1. Surya (Dewa Matahari) 2. Agni (Dewa Api Suci) 3. Indra (Dewa Perang) 4. Waruna (Dewa Alam Angkasa) 5. Wertra (Dewa Jahat) 6. Candra (Dewa Bulan) 7. Wayu (Dewa Angin)
Panteisme juga berasal daripada perkataan Greek iaitu panta. Panteisme merujuk kepada agama-agama yang mempercayai setiap benda adalah suci dan mempunyai unsur-unsur ketuhanan. Dengan perkataan lain, agama ini mempercayai Tuhan wujud dalam setiap benda ataupun setiap benda adalah Tuhan. Antara contoh agama yang mengamalkan sistem kepercayaan ini adalah agama Hindu. Agama Hindu mempercayai adanya kuasa ketuhanan dan dewa-dewa dalam setiap benda. Ada sesetengah penganut agama Hindu yang menyembah pelbagai jenis benda yang dipercayai didiami oleh dewa-dewa. Mereka menyembah matahari, bulan, pokok besar, sungai dan lain-lain. Dualisme pula merujuk agama yang mempercayai dua Tuhan atau dua kuasa iaitu kuasa baik dan kuasa jahat. Agama Dualisme mempercayai alam angkasa ini ditadbir ataupun di-perintah oleh dua tuhan yang mempunyai sifat yang berlainan iaitu Tuhan yang baik dan Tuhan yang jahat. Contoh agama Dualisme adalah seperti yang terdapat dalam fahaman sesetengah pengikut agama Zarathustra. Ini kerana, agama Zarathustra mempercayai adanya dua kuasa yang mempunyai sifat-sifat yang berlawanan iaitu kuasa kebaikan dan kuasa kejahatan. Agama Zarathustra mempercayai Ahura Mazda adalah kuasa kebaikan yang selalu mengurniakan kebaikan seperti kebahagiaan dan rezeki. Manakala Ahriman pula adalah kuasa kejahatan yang menyebabkan berlakunya bencana dan musibah. Jadi, mereka menyembah Ahura Mazda bagi mendapatkan pelbagai kebaikan dan menyembah Ahriman bagi mendapat perlindungan daripada segala bencana dan malapetaka. Henoteisme merujuk agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Mereka menyembah semua Tuhan-tuhan itu tetapi meletakkan hierarki ketuhanan dalam penyembahan mereka. Dengan kata lain, mereka mempercayai ada Tuhan yang paling berkuasa antara Tuhan-tuhan yang disembah. Di sini kita dapat simpulkan, tahap kuasa Tuhan-tuhan mereka adalah berbeza. Ada Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak, sederhana dan ada yang lemah berbanding Tuhan-tuhan lain. Monoletri pula merujuk kepada sistem menyembah satu Tuhan tetapi pada masa yang sama, mereka juga mengiktiraf dan mengakui kewujudan Tuhan lain bagi kaum lain. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa persamaan antara kebanyakan agama itu. Antaranya adalah kebanyakan agama mempercayai kewujudan Tuhan yang mencipta alam dan segala isinya. Namun, konsep ketuhanan ini berbeza antara agama-agama itu. Ada yang mempercayai konsep Monoteisme, Politeisme, Henoteisme, Panteisme, Monoletri, Dualisme dan sebagainya. Kebanyakan agama mempunyai sumber rujukan ataupun kitab suci. Kitab ini dianggap sebagai sumber ajaran dan kepercayaan. Namun, asal-usul serta ajaran kitab itu berbeza antara agama. Masih banyak lagi persamaan dan perbezaan antara agama-agama yang dianuti di dunia ini. Kebanyakan persamaan itu hanya terletak pada struktur ataupun ciri-ciri umum agama. Sedangkan cara penyempurnaan, ajaran, amalan serta kepercayaan adalah berbeza. Bab seterusnya membincangkan secara ringkas berkaitan sejarah dan ajaran agama-agama yang masih ‘hidup’ sehingga ke hari ini. Agama-agama itu adalah seperti berikut: 1. Agama Hindu 2. Agama Jaina 3. Agama Buddha 4. Agama Sikh 5. Agama Tao 6. Agama Konfusius 7. Agama Zarathustra 8. Agama Yahudi 9. Agama Kristian 10.Agama Islam
No comments:
Post a Comment