Monday, May 23, 2011


Isi kandungan
Pendahuluan
Peristiwa Sebelum Penghijrahan ke Madinah
Kepentingan penghijrahan kepada Umat Islam
Asas Pembentukan masyarakat Islam di Madinah
Kesimpulan







Pendahuluan

Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. pada 622 Masihi telah membawa satu perubahan yang begitu besar ertinya kepada Islam dan perkembangan Islam. Secara tidak langsung ia telah berjaya meletakkan prinsip atau dasar untuk dihayati oleh umat Islam dalam membangunkan Islam. Perkataan hijrah berasal dari perkataan Arab yang bermakna berpindah dan hijrah pada bahasa bermaksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaaan kepada keadaan yang lebih baik. Hijrah pada istilah ialah perpindahan Rasulullah S.A.W. dan orang-orang Islam dari Mekah ke Madinah untuk menyebarkan Islam. Namun di dalam konteks tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Mekah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.

Peristiwa Sebelum Penghijrahan ke Madinah

Perjanjian al-Aqabah adalah merupakan titik tolak permulaan yang telah membawa kepada penghijrahan para sahabat dan Rasulullah S.A.W. ke Yathrib ( Madinah ). Pada tahun 620 Masihi, beberapa orang Madinah telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W. secara sulit. Pertemuan itu telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama dan ia berlaku pada tahun 621 Masihi bersamaan tahun ke sebelas kerasulan Nabi. Antara isi kandungan perjanjian ini ialah tidak mensyirikkan Allah S.W.T., tidak membunuh anak, tidak membuat fitnah atau khianat, tidak mencuri, tidak berzina, serta tidak menderhaka kepada Rasulullah S.A.W. Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun ke tiga belas kerasulan, termeterai Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat antara Rasulullah S.A.W. dengan 37 orang lelaki dan 2 orang perempuan Madinah. Antara isi kandungan perjanjian tersebut, mereka haruslah menerima Rasulullah S.A.W. sebagai pemimpin dan berjanji mempertahankan Rasulullah S.A.W.. Kemudian mereka juga berjanji untuk berjuang mempertahankan Islam dan membantu Rasulullah S.A.W. serta orang Islam yang lain.

Peristiwa penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W. berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Antara sebab penghijrahan berlaku iaitu tentangan terhadap Islam semakin hebat dan pelbagai usaha dari pihak Quraisy untuk menyekat dakwah Islam. Musyrikin Mekah telah melakukan pelbagai usaha menghalang dakwah Rasulullah S.A.W. antaranya tawaran untuk bergilir-gilir melaksanakan agama masing-masing, menawarkan pangkat, harta dan wanita kepada Rasulullah S.A.W., mengenakan sekatan ekonomi terhadap orang Islam, Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib selama 3 tahun. Selain itu, mereka juga telah melakuka penyeksaan terhadap orang Islam dan membuat perancangan untuk membunuh Nabi.

Kepentingan penghijrahan kepada Islam

Penghijrahan mempunyai nilai yang sangat penting kepada  peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku penghijrahan ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi sedangkan di Mekah seruan terhadap Islam sering terganggu. Penghijrahan juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal. Dalam penghijrahan ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Mekah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Mekah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa mereka. Peristiwa penghijrahan ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Sebagai contoh puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar . Penghijrahan juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Kepentingan penghijrahan dapat membentuk sebuah gerakan dakwah di Madinah secara semakin Meluas dan ajaran Islam semakin pesat berkembang. Rasulullah S.A.W. juga menghantar utusan ke negara-negara lain untuk menyeru rajanya memeluk Islam contoh Byzantine dan Habsyah. Perubahan kedudukan dalam penyebaran Islam tanpa mendapat ugutan dan halangan daripada kaum Quraisy. Pertumbuhan Umat Islam telah mewujudkan sebuah ummah Islamiah iaitu Ansar dan Muhajirin dan membina sebuah golongan umat Islam semakin kukuh dari segi jasmani serta rohani. Penubuhan Negara Islam menjadi negara Islam pertama di dunia apabila Rasulullah S.A.W. membentuk sebuah Perlembagaan Madinah dan mempunyai sebuah Piagam menepati ciri-ciri sebuah perlembagaan. Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah mempunyai sebuah sistem perundangan yang teratur di bentuk meliputi semua bidang. Rasulullah S.A.W. juga menamatkan permusuhan tradisi golongan Ansar dimana konflik tradisi antara Aus dan Khazraj telah berjaya dilenyapkan. Permulaan kalendar hijrah adalah merupakan titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam (hijrah) pada 634 Masihi oleh Khalifah Umar al Khattab.


Asas Pembentukan masyarakat Islam di Mekah dan Madinah

Pembinaan masyarakat Islam di Mekah berdakwah secara sulit berlangsung selama 3 tahun dalam berusaha membina masyarakat Islam melalui aktiviti dakwah. Baginda menyampaikan dakwah kepada kaum keluarganya yang terdekat iaitu bapa saudaranya dan dikalangan keluarga sepupu serta teman-teman yang rapat dengan Baginda. Hanya beberapa orang sahaja yang memeluk Islam diantaranya Siti Khadijah iaitu isteri baginda serta sahabatnya Abu Bakar. Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah S.W.T. dan rasulnya serta meninggalkan ibadat menyembah berhala. Baginda juga mengajak mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta meninggalkan perkara / perbuatan yang mungkar seperti judi, minum arak, menipu, merompak, berzina, membunuh anak dan sebagainya. Dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah secara lemah-lembut dan penuh hikmah. Rumah al-Arqam dijadikan markas pertama dakwah islamiyah, rumah tersebut terletak di Bukit Safa. Setelah mendapat wahyu daripada Allah S.W.T. yang memerintah Baginda menyampaikan dakwah secara terang-terangan dan ia berlangsung selama 10 tahun. Dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. mendapat penentangan daripada kaum Kafir Quraisy  dalam bentuk siksaan, cacian, ejekan, penghinaan dan pemulauan. Orang Kafir Quraisy juga menggunakan teknik pujukan melalui Abu Talib merupakan pembesar Quraisy dan teknik tawaran iaitu menawarkan pangkat dan harta kepada Rasulullah S.A.W.. Kesemua teknik ini  tidak berjaya melemahkan semangat Rasulullah S.A.W. untuk terus menyebarkan Islam.

Pembentukan masyarakat Islam di Madinah adalah bermula pembinaan masjid dan ia juga merupakan usaha pertama Rasulullah S.A.W. di Madinah. Pada masa itu, fungsi masjid amat penting kerana ia adalah tempat perhimpunan umat Islam untuk mengadakan perbincangan, pusat pengajian, pusat ibadat, pusat pentadbiran dan berurusniaga. Pembinaan masjid juga telah melipatgandakan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat di Madinah. Piagam Madinah dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum. Piagam Madinah adalah salah satu usaha Rasululah S.A.W. untuk menyatupadukan masyarakat di Madinah diantara kandungan piagam ini mencatatkan tanggungjawab  pemerintah dengan golongan yang diperintah, hak-hak manusia, persaudaraan, Keselamatan, tanggungjawab sosial, ekonomi dan sebagainya. Perundangan yang bersumberkan al-Quran, Hadith, Qias, dan Ijmak menjadi rujukan kepada masyarakat Madinah sepanjang masa.  Baginda juga telah memperkenalkan konsep persamaan antara manusia supaya masyarakat tidak membeza antara satu sama lain. Pemulihan ekonomi juga dapat penyatuan masyarakat yang berlaku telah mewujudkan semangat saling membantu sehingga meliputi segenap bidang. Hubungan sosial dapat disatukan oleh Rasulullah diantara orang-orang Aus dan Khazraj yang saling bermusuhan sebelum ini. 

Kesimpulan

Penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah, dapat disimpulkan bahawa penghijrahan yang dilakukan oleh baginda  mendatangkan banyak kesan kebaikan walaupun baginda dan sahabat menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Penghijrahan yang telah baginda lakukan ada yang disokong oleh orang sekelilingnya dan ada juga yang menbantah. Kekuatan dan kesabaran baginda telah membuahkan hasil apabila berjaya berhijrah ke Madinah dan menyampaikan wahyunya di negeri tersebut. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati melalui penghijrahan baginda. Antaranya, kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu. Seterusnya, kita juga harus bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu. Selain itu, kita juga hendaklah memberi keutamaan kepada agama dengan bersolat dan berdoa dalam apa jua yang kita lakukan. Peristiwa penghijrahan ini juga merupakan sumber inspirasi kepada perjuangan dan pembangunan umat Islam sepanjang zaman. Ianya perlu sentiasa disuburkan kerana semakin hari umat Islam semakin terdedah kepada pelbagai cabaran yang kadangkala
membuatkan mereka leka dan lalai daripada matlamat perjuangan Islam yang sebenar. Ini sudah tentu akan meninggalkan impak yang kurang baik kepada imej dan masa depan perkembangan dan pembangunan Islam. Oleh itu, prinsip dan dasar perjuangan seperti niat yang ikhlas, tanggungjawab berdakwah, kepimpinan melalui teladan dan pengorbanan perlu dijiwai dengan sebaikmungkin.

No comments:

Post a Comment